Thursday, January 22, 2009

MEK

Dulu kasih kau titip dalam setiap langkah hidupmu
Setiap kudrat
dipalu untuk anak dan cucumu
Tika anak cucuk ralik di perbaringan kau bangkit di kala gelap
Bangun pagi mu membungkus nasi
dijual di keramaian


Kedut kasar urat tua serata tubuh
Penat lelah dan peluh jenuh
Demi keluarga tercinta kau tetap utuh


Hati terguris menjadi teman
Sakit terhiris kau sendiri ubat kesian


Dari aku sebesar lengan kasih kau titis, waktu nyamuk dekat kau tepis
Hanya sekali pernah ku lihat kau menangis
Itupun
kulihat hanya sekalis


Mahu sekali ku dengar setiap kisah hidupmu
Mahu sekali aku tahu apa isi hati mu
Tapi kau bijak sorok segalanya
Seperti apa berlaku semuanya sempurna
Sepanjang hidupmu menghambakan diri buat keluarga


Buta huruf mu tak jadi gembala
Cinta tulus dijunjung di kepala
Buat anak cucu dan suami kau kerah tenaga


Walau kau tiada harta dana
Ke jahanam apa orang kata
Demi
bahagia kau gagah jua

Kau nenek dihujung usia
Kabarlah apa lagi mampu buatmu bahagia


Dia aku agungkan antara semua hawa
Ya Tuhan janganlah lagi cabut nyawanya.


Untuk nenek aku,,Esah Bt Senik.

Pomot 3# Boo-nga bukan boon-ga


Anda pasti sukakannya -> http://boongashoes.blogspot.com





Saturday, January 3, 2009

Dah Besor Panjang

SELAMAT TAHUN BARU 2009!


Selamat Harijadi untuk aku.
Terima kasih pada setiap kawan,teman dan sahabat yang meng-wish besday pada aku.
Dan semestinya ucapan selamat tahun baru menyusul sekali.
kata mereka, “pandai mak kau pilih tarikh”.
……………………………………………………………………………………
Aku musykil.
Bila orang tanya ini untuk harijadi aku ke berapa?. Aku lahir pada 31hb 12 tahun 1987, jadi pada 31,12,2008 bila kawan aku tanya besday yang ke berapa aku jawab 21,yang jadi masalahnya esoknya 1,1,2009 ada pakcik aku tanya lagi, ‘umur ko dah berapa kim?. Aku terdiam sekejap dan berfikir. Aku jawab 22.

Hmmm.

Do i have an issue here? Or am I just make things complicated?

Masih Ada Lagi

Sebulan tak menaip, kekok pulak.

Genap seminggu dan sebulan aku di HKL, dari wad jantung atuk di masukkan hinggalah ke wad radioterapi dan onkologi . Umur atuk ku 73, Bladder Cancer,Stage 3, tapi masih kuat berjalan walau kadangkala selalu bertanya perkara yang sama. Si setia menanti tersenyum menjawab apa sahaja ajuan soalan. Tugasku disini sebagai Tukang Teman.

Mata aku juga tak lari dari melihat jururawat yang sentiasa menguntum senyuman. Haishh…


Beberapa pesakit sempat aku kenal sepanjang di sini,yang rata-rata layak aku panggil Atok juga,berbagai latar belakang,berbagai penyakit dihidapi,dari yang biasa hinggalah ke paling kronik.

Pakcik Jaafar,aku kenal di wad 26 dimana ramai pesakit jantung ditempatkan, lihat pada saiz tubuhnya sahaja sudah pasti terasa kepayahannya menjalani kehidupan seharian, terdengar aku masa jururawat menimbang berat badannya, “140! Pakcik jaafar,kena kurang makan ni pakcik” “ala raya haji nak dekat memang sesuai la kalau nak sembelih pakcik ni”,jawabnya dalam pelat Terengganu. Ada tujuh orang anak ceritanya tapi sepanjang seminggu dia di katil depan atuk tiada seorang pun warisnya datang menjengah.

Seminggu kemudian atuk berpindah ke wad baru. Sepasang suami isteri turut berada dalam bilik sama,aku panggil mereka berdua Atok dan Nenek juga,si isteri tugasnya sama seperti aku di sini “Atok dengan nenek ni lagi dua minggu dapatla balik Muar dah kim”.katanya. Si suami juga menghidapi sakit yang sama macam atuk ku,cuma dia perlu membuang air kecil dan besar dalam kantung khas setelah satu lubang kecil ditebuk dipinggangnya. Lampin dewasa teman setia.


Setelah 2 minggu bersama mereka,berpisah juga,mudahan Atok dan Nenek tu panjang umurnya. 10 ringgit sempat mereka hulur pada aku.Rezeki.

Sunyi sekejap rasanya.

Oh. Suatu pagi tu, aku dengar ada suara meraung, bila aku keluar seorang wanita cina sedang melolong menangis. Dia tak dapat terima ibunya tenat. Barah Payudara.
Memang disini ditempatkan khas bagi pesakit-pesakit barah menjalani rawatan Radioterapi dan Kimoterapi. Berbagai bangsa dan keturunan.

Selang 2 hari pakcik Arsyad pula menjadi penghuni baru bilik aku dan atuk, Pakcik Arsyad katil 6A, atuk aku katil 6B. Umurnya 73 tahun,dekat sebaya dengan atuk aku. Jarang tersenyum, bila senyum jelas terpancar senyum orang sakit, lain macam rupanya,kesian juga aku, atuk aku yang rajin berbual kerap menegur rakan seangkatannya itu.Bladder Cancer juga. Kadang kadang pakcik Arsyad menghulur buah-buah yang dibawa anaknya pada aku ‘’Pakcik takde selera nak makan la”. Razif,anaknya,seorang pensyarah, kerap datang melawat dan bermalam.

Khamis 4 Dec - Hari tu sebelum aku keluar pagi, pakcik arsyad sempat mintak aku belikan mee kari, aku belikan, mee jawa.

Maghribya masa aku dalam monorail untuk balik ke HKL anaknya razif sms aku, ‘’Kim mintak tolong selimutkan ayah abang boleh, dia demam teruk lagi tu” aku bergegas ke HKL.
Sampai sahaja aku dipintu wad Pakcik Arsyad sedang tepat merenung tajam ke muka aku, Beberapa jururawat dan doktor juga mengelilingi dia dalam keadaan kelam kabut, Sambil ada membisik 2 Kalimah Syahadah di telinganya. Pakcik Arsyad dah nazak. Beberapa saat kemudian dia menghembuskan nafas terakhir.

Al-Fatihah.

Sementara menanti ahli keluarga Pakcik Arsyad tiba, Atuk aku membacakan Yasin.
Aku….. tidak terdaya hati untuk balas sms Razif bagitahu pemergian ayahnya.
………………………………………………………………………………………………………
Malam yang sama.

Selang beberapa minit pakcik Arsyad "pergi", Bilik 1 berhadapan dengan wad atuk ku telah penuh dengan sanak saudara Pakcik Zaidi. Dia yang menghidap Kanser Mata dari semalam lagi sudah berada dalam koma,dan selepas pemergian Pakcik Arsyad dia pula nazak. Tangisan menyelubungi wad RT 3C/D malam itu. Sejam menyusul, Pakcik Zaidi kembali ke alam yang kekal abadi.,Al-Fatihah.

Malam Jumaat tu memang antara malam paling sepi bagi aku, dua insan pergi bertemu penciptanya.
Depan mata aku.
Malam tu aku tidur buka lampu. Dua minggu siang dan malam aku bersama pakcik arsyad, terkesan juga pemergiannya,,katil disebelah atuk ku kembali tak berpenghuni.

.............................................................................................................................

Isteri berdamping setia suami
Anak memanggu abahnya
Dan cucu teruja atuknya
Hari ini bertawa esok pergi bukan cerita luarbiasa
Yang bernyawa enteng menginsafi


Pesakit bersilih ganti
Tubuh kujur kaku bergilir pergi

…………………………………………………………………………………………………………


Pakcik Rozainor - Sempat dia menghuni katil 6B selama 3 hari. Seorang pegawai tentera,umur 40-an. Petang tu tengah seronok dia berbual dengan atuk, tiba-tiba menggelupur muntah-muntah. Setelah doktor bagi ubat, dia ok. Dia menghidap barah usus.
Kesian, nak tolong tak tahu macam mana.

Pakcik Sidek - Dia seterusnya ditempatkan di katil 6B. Umur 60-an. Orang Gombak. Masa dia dan anak perempuannya sampai pagi tu, dia cukup ceria. Dia tak mampu lagi berdiri lumpuh separuh badan. Disuruh anaknya beri buah anggur pada aku dan atuk. Cukup mesra.

Tapi,sehari sahaja sempat kami beramah mesra. Esoknya,tanpa disangka Pakcik Sidek menemui ajalnya.
Aku sendiri terkedu.

Suatu petang tu aku tengah berjalan nak ke Kantin beli makanan, tak sangka boleh terserempak Nik, dia dulu teman serumah aku masa mula-mula masuk belajar kat Shah Alam tu.Sampai ada Raya tu aku pernah tumpang rumah dia. Meemang tak sangka jumpa dapat jumpa dekat HKL.
Rupanya ayah dia juga berada di HKL, dalam keadaan kritikal DI ICU, kencing manis.
Malam tu kami lepak gerai depan pagar HKL. Dia bercerita segalanya. Dia tak sanggup kehilangan ayahnya.

Selang bererapa hari,aku dapat sms tentang pemergian ayah Nik.
Al-Fatihah.

“Dari Dia kita datang dan kepadaNYA kita kembali’’
…………………………………………………………………………………………………

Macam-macam ragam,asam garam manusia dekat hospital ni lalu melintas depan aku ,buruk baik,yang cantik dan jelik, dan dari berdarjat setinggi-tinggi kononnya hingga sedaif-daif rupa.
Bukan sekadar memerhati..Juga menilai diri.

Alhamdulillah atuk aku masih ada lagi, masih berada disisi. Masih mampu tersenyum setiap hari.
Masih ada kudrat, sujud ditikar sejadah.
Dan… pekena Teh setiap pagi. (walaupun doktor Azura dah pesan dekat aku jangan belikan)


Tuhan, Jangan ambil dia lagi.